Saudi Arabian Airlines mendedahkan rancangan untuk mengendalikan teksi terbang untuk angkut jemaah haji antara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan hotel di Makkah.
Sebagai pengangkutan baru musim haji
Memetik laporan dari Saudi Gazzete, Syarikat penerbangan Saudi Nasional itu dikatakan membuat persiapan untuk menggunakan teksi udara sebagai mod pengangkutan baharu semasa musim haji.
Angkut jemaah haji dari Jeddah ke Mekah
Menurut Abdullah Al-Shahrani, pengarah komunikasi korporat dan jurucakap Kumpulan Saudia, beliau memaklumkan bahawa Kumpulan Saudia telah mengikat pembelian 100 jet Lilium, pesawat lepas landas dan pendaratan menegak elektrik Jerman (eVTOL), untuk ulang-alik antara lapangan terbang Jeddah dan lapangan terbang di hotel Makkah berhampiran Masjidil Haram dan tempat suci lain.
“Pesawat elektrik Lilium adalah salah satu pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik.
“Setelah menyelesaikan urusan yang diperlukan, pesawat ini akan terbang bersama tetamu Allah pada musim Haji dan Umrah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke lapangan terbang di hotel berhampiran Masjidil Haram di Makkah,” katanya kepada Al-Arabiya.
Boleh angkut jemaah haji seramai empat hingga enam penumpang
Al-Shahrani menyatakan bahawa teksi terbang berkenaan boleh mengangkut empat hingga enam penumpang.
“Pesawat Lilium dicirikan oleh kadar pelepasan karbon yang rendah dan merupakan pesawat mesra alam, yang menjadikannya salah satu kemungkinan untuk mengekalkan perjalanan udara dan memendekkan masa penerbangan, kerana ia meliputi jarak maksimum 250 km.
“Melalui pembelian hampir 100 pesawat, Saudi Airlines berhasrat melancarkan perkhidmatan lanjutan untuk menghubungkan beberapa destinasi pelancongan melalui pesawat elektrik canggih ini, dan akan menyokongnya dengan laluan udara antara lapangan terbang utama dari tempat Saudia beroperasi,” katanya sambil menunjukkan bahawa ini adalah perkhidmatan khas untuk tetamunya.
Artikel lain: Berjaya Dapat Permit, Google, Microsoft Dan Amazon Bakal Buka HQ Di Arab Saudi
Beliau berkata lagi, pesawat itu turut menampilkan kabin unik yang menawarkan beberapa pilihan untuk susunan tempat duduk dan dicirikan oleh ruang luas yang memenuhi keperluan tetamu elit yang mencari pengalaman perjalanan terbaik.
Menurut Al-Shahrani, Saudi Airlines akan berusaha untuk menyokong Lilium dengan menyediakan semua kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk mengendalikan pesawat jenis ini di pasaran Saudi.
“Ini adalah satu langkah penting dalam rangka usaha menambah baik sektor pengangkutan udara di Kerajaan, kerana inisiatif ini akan menyumbang secara signifikan untuk merangsang kemampanan sektor pelancongan di Kerajaan, melalui penerbangan tanpa pelepasan,” tambahnya.
Perlu diperhatikan bahawa teksi udara adalah pesawat komersial kecil yang membuat penerbangan pendek atas permintaan.
Sumber: Saudi Gazzete