Remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta milik ibunya sehingga ‘ragut nyawa’ dua individu di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah Prai, awal pagi semalam, dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini memerintahkan remaja terbabit ditahan reman selama satu hari bagi membolehkan polis melakukan siasatan.
Terbaharu, Ketua Polis Daerah Sebarang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San memaklumkan remaja terbabit dibebaskan selepas tahanan selesai merekodkan keterangan dan tamat tempoh tahanan reman hari ini.
“Melalui siasatan terhadap remaja itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang lesen memandu dan masih bersekolah.
“Ketika kejadian dia yang memandu kereta milik ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Mertajam selepas bertemu dengan rakannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Artikel lain: Temui ajal selepas dirempuh pemandu berusia 16 tahun, ‘repost’ pemuda di TikTok buat ramai sebak
Menurutnya, polis kini sedang melengkapkan siasatan termasuk menghantar sampel darah ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian alkohol dan dadah bagi tindakan selanjutnya.
Pihak polis juga mengeluarkan saman ke atas ibu remaja terbabit kerana cuai dengan membenarkan anaknya menggunakan kenderaan tanpa lesen.
Sebelum ini, tular di media sosial kenderaan yang dipandu remaja berkenaan melanggar motosikal dinaiki pasangan yang bakal bertunang Disember ini sehingga maut
Kejadian tersebut berlaku pada jam 2.30 pagi dan kereta dipandu remaja berkenaan melanggar belakang sebuah lori sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggangi pasangan tunang berkenaan.
Artikel lain: Motosikal Dinaiki Langgar Kereta Peronda Polis, Dua Remaja Alami Kecederaan
Impak kemalangan terbabit telah menyebabkan kedua-dua mangsa yang berasal dari Perak itu mengalami cedera parah dan maut di lokasi kejadian.
Difahamkan, pasangan itu baru pulang selepas menikmati juadah nasi kandar di sebuah restoran di Georgetown sebelum terbabit dengan kemalangan tragis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro (Nur Izzati Mohamad)