Atlet taekwondo negara, Nurul Hidayah Abdul Karim tidak dapat menahan sebak selepas dinafikan pingat bagi acara poomsae individu wanita.
Nurul Hidayah sebak pingat dinafikan
Ia sekaligus melepaskan peluang untuk menyumbang pingat pertama Malaysia dalam Sukan Asia Hangzhou pada Ahad lalu.
Apa yang membuatkan Nurul Hidayah sebak apabila pingat dinafikan adalah bukan kerana masalah prestasi. Sebaliknya keputusan berat sebelah juri yang menafikan tempatnya dalam separuh akhir.
@syennn__ Tangisan Hidayah sebaik terlepas pingat Sukan Asia..🥺 Seperti coach Jin kata, “Train harder, next time no same point, but higher”!!❤️🔥 @Astro Arena #SukanAsiaHangzhou2022 #hangzhouasiangames #asiangames2022
Difahamkan, pada aksi suku akhir menentang pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2013 Marjan Salahshouri dari Iran, Nurul Hidayah hanya tewas berdasarkan 0.03 mata mengikut markah bagi persembahan selepas kedua-dua mereka terikat dengan 7.780 mata purata.
Pada persembahan pertama, atlet negara berusia 25 tahun itu tewas apabila meraih 7.740 mata berbanding Marjan yang meraih 7.780 mata. Namun, pada persembahan kedua, atlet kelahiran Bintulu, Sarawak itu berjaya mengatasi Marjan dengan keputusan 7.820 mata berbanding lawannya, 7.780 mata.
Pingat Nurul Hidayah dinafikan tapi Marjan lakukan kesalahan?
Memetik laporan Malaysia Gazette, jurulatih kebangsaan Jin Jun Beom percaya Nurul Hidayah layak ke separuh akhir kerana mendakwa Marjan telah melakukan kesalahan pada persembahan pertamanya.
Jin kemudiannya cuba membuat protes, malangnya ia tidak dapat mengubah keputusan yang kekal berpihak kepada Marjan.
“Saya nampak Hidayah telah lakukan yang terbaik tanpa sebarang kesilapan besar, tapi atlet Iran buat kesilapan besar, jadi saya rasa kita akan menang dalam acara poomsae. Tapi bila tengok keputusan, saya bercadang untuk protes jika kalah dalam pusingan kedua, tapi kita menang dan mata sama, kita kalah 0.03 mata dalam persembahan.
“Protes tidak diterima apabila kita jumpa dengan teknikal dan pengerusi pengadil, mereka kata tidak boleh tukar keputusan, mereka hanya boleh gantung pengadil. Kami sangat sedih, tapi kita perlu bekerja lebih gigih untuk acara seterusnya, supaya tidak ada yang boleh menafikan kemenangan kita lagi,”katanya.
Pelik, markah pihak lawan lagi tinggi
Sementara itu, Nurul Hidayah menyatakan dirinya tidak mengetahui punca markah pihak lawannya lebih tinggi berbanding dirinya. Ini kerana dirinya tidak melakukan sebarang kesilapan.
“Saya tak berapa lihat aksinya kerana fokus pada diri sendiri, tetapi apabila markah poomsae pertama keluar, saya pelik sebab markah dia tinggi kerana saya tidak buat kesilapan, tapi dia ada tidak seimbang sedikit, namun markah tinggi.
“Poomsae adalah acara subjektif, selalunya ada baik dan buruk, bukan macam bertanding ada penderia pada badan. Format satu lawan satu ini jarang digunakan, biasanya lapan atlet masuk sekali, persembahkan seorang-seorang,” kata Nurul Hidayah.
Sumber: TikTok (@syennn__), Malaysia Gazette (BERNAMA)