Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan untuk menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), tengah hari semalam.
Anwar sampaikan khutbah Jumaat di New York
Beliau yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian.
Difahamkan, masjid berkenaan merupakan yang pertama dibuka di bandar raya New York dan khutbahnya disampaikan di hadapan lebih 800 jemaah.
Anwar juga berkesempatan untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Kami sentiasa cuba menggalakkan persefahaman, toleransi dan keperluan untuk memahami budaya dan agama orang lain. Ia penting bagi kami untuk hidup rukun damai dan harmoni.
“Umat Islam juga diseru untuk mengukuhkan perpaduan sesama mereka, tonjolkan hikmah serta memperoleh maklumat dan pengetahuan,”ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar juga berkesempatan untuk menjelaskan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkannya di Malaysia serta ancaman di seluruh dunia.
“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menjelaskan konsep “Malaysia MADANI” yang diperkenalkan di Malaysia serta menyentuh ancaman Islamofobia di seluruh dunia yang memerlukan kesepakatan umat untuk menoktahkannya.
“Apabila kejadian membakar Al-Quran berlaku, Malaysia mencetak satu juta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia. Malah kami hantar 15,000 naskhah ke Sweden supaya mereka dapat melihat dan memahami, dan bukan bergaduh kerana jahil,” katanya lagi.
Artikel lain: Anwar Jadi Pemimpin Asing Pertama Beri Khutbah Jumaat Di Masjid New York
Selepas sampaikan khutbah, Anwar pimpin lafaz syahadah
Malah, Anwar juga berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki bernama Andrew Vinals yang berhasrat memeluk Islam di lokasi yang sama.
Menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi.
“Usai solat Jumaat, saya diminta komuniti Islam di sini untuk menyempurnakan proses lafaz shahadah saudara Andrew Vinals yang berhasrat memeluk agama Islam.
“Saya juga menyampaikan sumbangan Al-Quran kepada pihak ICCNY untuk kegunaan komuniti Islam di sini,”ciapnya di platform X.
Sumber: X @anwaribrahim