Penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh kejam sebelum ditemui dengan 18 kesan tikaman dalam semak berhampiran kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah, pada Sabtu lalu mungkin disebabkan dendam.\
Pemuda Dibunuh Kejam, mayat dibakar
Memetik laporan dari Berita Harian, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah memaklumkan satu operasi khas ‘Op Kejam’ dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah susulan daripada penemuan mayat mangsa iaitu R Darvnrajh, 24.
Setakat ini enam lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun yang juga rakan mangsa ditahan di Tampin, Negeri Sembilan minggu lalu.
“Siasatan dijalankan mendapati punca mangsa dibunuh kerana rasa tidak puas hati membabitkan dendam lama, iaitu kejadian ketika sambutan Deepavali tahun lepas.
Dikatakan suspek yang ada membawa mercun dengan menggunakan motosikal ke taman perumahan berhampiran kediaman mangsa. Keluarga mangsa ada menegur dan membuat laporan polis menyebabkan suspek ditangkap,” katanya.
Enam suspek dipercayai rakan mangsa ditahan
Menerusi siasatan yang dijalankan, Zainol memaklumkan yang kesemua suspek telah menaiki sebuah kereta untuk minum arak di Taman Indah dan mabuk sekitar jam 10.30 malam pada 9 September lalu.
Dalam perjalanan balik, mereka telah terserempak dengan mangsa di Taman Mutiara dan menariknya masuk ke dalam kereta sebelum dipukul sekitar jam 5.30 pagi.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Kemuning, sebelum suspek menikam dan menetaknya menggunakan parang panjang.
“Semua suspek kini direman sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, satu mayat telah ditemui terbakar di dalam semak dengan 18 kesan tikaman dan lebih lima tulang patah serta retak di dalam semak di Ladang Gadek, Kemuning, Alor Gajah.
Ahli keluarga juga percaya bahawa mayat tersebut adalah mangsa dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga mengesahkan perkara itu.
Difahamkan, mangsa telah dilaporkan hilang sejak 10 September lalu.
Sumber: Berita Harian (Nuraliawati Sabri)