Dua beradik ditemui rentung tanpa ibu bapa di rumah dalam sebuah kebakaran di Kampung Pulutun, Menggatal Sabah, Khamis.
Dua beradik ditemui rentung
Memetik laporan Sinar Harian, mayat dua beradik berkenaan ditemui rentung berdekatan di bahagian ruang tamu kediaman mereka. Bukan itu sahaja, insiden berkenaan turut melibatkan enam buah rumah di kawasan kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, ibu bapa mereka tiada di rumah sewaktu ia berlaku.
Ditemui rentung tanpa ibu bapa
Difahamkan,salah seorang daripada mereka yang berusia 6 tahun tersebut baru sahaja pulang dari sekolah tadika. Manakala, seorang lagi, 5 tahun memang berada di rumah.
“Mereka didapati bersendirian di rumah selepas ditinggalkan oleh ibunya yang keluar bekerja. Bapanya menghantar anak saudara ke hospital. Sementara itu, adik beradik lain berada di sekolah,”katanya.
Artikel berkaitan: Datuk Tak Sangka, Sambutan Hari Lahir Jadi Pertemuan Terakhir Dengan 2 Cucu
Jelasnya, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1 petang yang mengakibatkan Jackron Jabri, 6, bersama adiknya, Jayraiyen, 5, ditemui rentung di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.
Operasi pemadaman kebakaran itu melibatkan seramai 35 pegawai dan anggota BBP Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera sebaik sahaja menerima panggilan.
Mayat kedua-dua beradik itu kemudiannya dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Punca kejadian kebakaran melibatkan enam buah rumah tersebut masih lagi dalam siasatan dan kerja pemadaman selesai pada jam 2.53 petang.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin), FB search