Connect with us

Inspirasi

Mati Ditembak Sewaktu Protes, Gadis 19 Tahun Jadi Simbolik ‘Puteri Demokrasi Myanmar’

Umum tahu, pada waktu ini, negara Myanmar dilanda situasi genting selepas penahanan pemimpin utamanya berikutan tragedi rampasan kuasa oleh pihak tentera berlaku sejak Februari lalu.

Lantaran itu, ribuan rakyat negara berkenaan keluar di jalanan melakukan tunjuk perasaan secara besar-besaran sebagai tanda tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tentera yang disifatkan sebagai ‘teroris’.

Bagaimanapun, terdapat satu kisah sedih dilaporkan melibatkan seorang gadis bernama Ma Kyal Sin yang berusia 19 tahun di mana dia telah ditembak mati sewaktu menyertai aktiviti protes pada hari Rabu, 3 Mac 2021 lepas.

Seperti kebanyakan remaja lain di Myanmar, Ma Kyal Sin berkongsi suka duka kehidupan mudanya menerusi laman sosial.

Antaranya, sudah tentulah gambar swafoto, momen manis dengan haiwan peliharaan, perayaan ulang tahun dengan keluarga dan rakan-rakan serta macam-macam lagi.

Namun sejak Rabu lalu, namanya menjadi sebutan ramai netizen dan kebanyakan gambarnya telah menghiasi media di seluruh dunia.

Menerusi gambar yang tular di serata laman sosial tersebut, gadis comel itu dilihat menyertai protes dengan memakai baju berwarna hitam tertulis perkataan ‘everything will be ok’.

‘Everything will be ok’

Dalam demonstrasi jalanan secara besar-besaran di bandar Mandalay Rabu lalu, Kyal Sin bersama puluhan ribu penunjuk perasaan lain ‘bertempur’ dengan pihak tentera dan polis.

Malah, menerusi beberapa video yang dimuat naik di internet yang memaparkan penunjuk perasaan sedang ‘bertempur’ dengan pihak berkuasa, Kyal Sin dilihat berlari sambil menjerit ‘kami tidak akan lari’ dengan sekuat hati.

https://twitter.com/altiaww/status/1367658625670344706?s=20

Namun, siapa sangka tulisan pada baju yang dipakainya itu seakan satu ‘ironi’ apabila dia terkorban dalam perjuangan untuk membebaskan idola demokrasinya sendiri, Aung San Suu Kyi. Malang tidak berbau, Kyal Sin maut di jalanan selepas sebutir peluru tepat mengenai kepalanya.

Hari itu merupakan hari paling berdarah buat Myanmar. Pada hari itu sahaja dilaporkan 38 orang penunjuk perasaan maut ditembak pihak berkuasa yang menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan peserta demonstrasi.

Perkara tersebut sekaligus membangkitkan kemarahan majoriti rakyat Myanmar yang sebelum ini memilih untuk berdiam diri.

Ramai di kalangan mereka memuji keberanian gadis itu dan menganggap dirinya sebagai seorang pahlawan sebenar memperjuangkan hak rakyat mereka.

Sanggup pertaruhkan nyawa demi negara

Menurut segelintir individu yang berada bersamanya sewaktu tunjuk perasaan tersebut, Kyal Sin dikatakan begitu kental membantu penunjuk perasaan lain tanpa menghiraukan nyawanya.

Bahkan, dia dengan beraninya menendang paip air hingga terbuka supaya penunjuk perasaan lain dapat mencuci muka daripada gas pemedih mata yang disembur oleh pihak polis.

Sewaktu hayatnya, hero muda itu pernah melibatkan diri dalam pilihanraya negara berkenaan pada November 2020 tahun lalu di mana dia ada berkongsi ciapan mempamerkan gambar dirinya bersama ayahnya di Twitter dengan kapsyen berbunyi:

“Undian pertama saya, dari pelusuk hati saya. Saya telah menunaikan tanggungjawab terhadap negara,” tulis Kyal Sin.

Dia sedar sebagai seorang rakyat dia harus menyertai pilihanraya tersebut sebagai tanda berbakti untuk negara tercinta.

Berbalik kepada cerita asal, beberapa hari sebelum kematiannya meskipun gadis itu mengetahui dia mungkin terkorban dalam protes tersebut, Kyal Sin tetap teguh dengan pendiriannya untuk menyertai protes dan sanggup mempertaruhkan nyawanya bagi mempertahankan hak rakyat.

Wasiat ingin organ tubuh diderma jika terbunuh

Pengorbanannya tidak berakhir di situ sahaja, Kyal Sin yang juga seorang atlet taekwondo dan penari, sejak awal-awal lagi sudah meninggalkan wasiat ingin menyumbangkan organ tubuhnya jika dia terbunuh sewaktu protes tersebut.

Majlis pengebumian Kyal Sin diadakan pada keesokan harinya, iaitu hari Khamis 4 Mac 2021 dan dihadiri ratusan rakyat Myanmar bagi mengiringi jenazah dan memberikan penghormatan terakhir buat gadis berjiwa kental itu.

Kematiannya kini ditangisi dunia terutamanya pecinta demokrasi. Kyal Sin juga kini menjadi simbolik baru perjuangan aktivitis demokrasi di bumi Myanmar.

Dia ibarat puteri demokrasi yang kembali meniupkan semangat jutaan penduduk Myanmar untuk terus melawan penguasaan junta.

Sumber: Channel News Asia, mothership.sg (Kayla Wong)

 

 

"Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah, akan kembali ke tanah. Kenapa masih bersifat langit?" - Hamka

Continue Reading
Advertisement

Trending