Connect with us

Infozon

Malaysia Teruskan Agenda Palestin Diiktiraf Sebagai Negara

Malaysia akan meneruskan agenda memastikan Palestin diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah negara melalui pelbagai kaedah diplomasi pada peringkat antarabangsa, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, usaha ke arah itu perlu dipergiatkan memandangkan ketika ini sudah timbul gerakan kesedaran di seluruh dunia yang menganggap serangan Israel ke atas Palestin sebagai satu jenayah amat berat.

“Di Amerika Latin, Eropah mahupun di Amerika Syarikat (AS) sendiri, ada demonstrasi bukan hanya dalam kalangan orang Islam saja.
“Anggota parti Demokrat (AS) sendiri pun membuat kenyataan terbuka menentang pendirian Presiden Joe Biden yang dilihat terlalu lembut kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tidak mengambil perhatian langsung kepada hak asasi manusia.
“Suasana sekarang amat kondusif untuk diperluaskan naratif baharu supaya matlamat kita tercapai,” katanya dalam program Bicara Naratif bertajuk “Solidariti Malaysia Untuk Palestin” yang disiarkan RTM malam tadi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk tetap tegas mempertahankan garis sempadan ‘penyelesaian dua negara’ berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Kamarudin berkata, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam akan menyuarakan pendirian bersama sekali lagi pada sidang khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam, bagi menyelesaikan konflik berterusan Palestin-Israel.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Herizal Hazri turut menarik perhatian bahawa provokasi dilakukan Israel dengan menghalau rakyat Palestin dari Sheikh Jarrah dan serangan ke atas jemaah yang beribadat di Masjid Al-Aqsa adalah satu helah Netanyahu.

Beliau berkata, tindakan Netanyahu itu untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Israel selepas gagal menubuhkan Kabinet selain isu rasuah di dalam partinya, Parti Likud.

Provokasi seolah-olah sengaja dicipta untuk mendapatkan serangan balas daripada Hamas yang seterusnya menyebabkan konflik lebih besar.

“Netanyahu tidak dapat sokongan seperti mana yang dia mahukan di Israel. Jadi dengan menakutkan-nakutkan rakyat Israel dengan serangan Hamas, rakyat Israel akan lebih cenderung kepada parti dia yang menampakkan dia seolah-olah boleh menyelamatkan rakyat Israel,” katanya.

Sumber: Bernama

Continue Reading
Advertisement

Trending