Connect with us

Infozon

Maksud Deposit Sewa Rumah, 1+1, 2+1 Ataupun 2+1+1 yang Ramai Penyewa Tidak Tahu

Apabila mencari rumah sewa atau menjadi tuan rumah sewa, antara perkara utama yang akan dilihat ialah deposit. Namun masih ramai yang salah faham istilah deposit ini sama ada daripada pihak penyewa mahupun tuan rumah.

➡ 1+1
➡ 2+1
➡ 2+1+1

Apa maksud semua ini?

Segelintir tuan rumah enggan memulangkan kembali deposit penyewa manakala sebahagian penyewa pula menganggap ia sebagai ‘advance sewa’ untuk bulan-bulan terakhir.

Seringkali juga tuan rumah dimaki di alam maya kononnya cekik darah dengan meminta deposit yang tinggi, malah ada yang memberi hujah bahawa deposit sepatutnya ditiadakan. Ada juga yang buat duit deposit itu sebagai harta sendiri dan enggan memulangkannya.

Namun ada juga penyewa yang mengambil kesempatan apabila deposit rendah dikenakan kepada mereka contohnya lari tengah malam dengan duit sewa dan bil tertunggak, dan siap angkut lari perabot.

Apa sebenarnya maksud dan konsep deposit ini?

Deposit didefinisikan sebagai sebahagian daripada bayaran berupa wang yang dibayarkan (sebahagian lagi adalah hutang). Penggunaan istilah ‘deposit’ ini menyebabkan sebahagian penyewa menganggapnya sebagai bayaran ‘advance sewa’ untuk bulan terakhir, contohnya 1 bulan deposit, maka penyewa paksa tuan rumah jadikan duit deposit itu untuk sewa bulan terakhir.

Namun, pada pandangan saya, penggunaan terma ‘deposit’ rumah sewa adalah satu “misnomer”. Terma yang betul ialah cagaran.

Cagaran bermaksud sesuatu yang dijadikan sebagai jaminan. Contohnya jika ada kerosakan atau tunggakan, maka cagaran ini akan digunakan oleh tuan rumah. Jika semua ok, cagaran akan dipulangkan.

Sebelum menyerahkan rumah sewa, kebiasaannya tuan rumah akan meminta wang cagaran sebanyak 1 atau 2 atau 3 bulan sewa, bergantung kepada :

1. kondisi rumah (kosong atau berperabot)
2. budi bicara tuan rumah
3. kebolehpercayaan terhadap penyewa

Contohnya jika sewa bulanan ialah 700, maka :

➡ 1+1 : 700 (cagaran) + 700 (sewa bulan pertama) = 1400
➡ 2+1 : 1400 (cagaran) + 700 (sewa bulan pertama) = 2100
➡ 2+1+1 : 1400 (cagaran sewa) + 700 (cagaran utiliti) + 700 (sewa bulan pertama) = 2800

Jarang dan sukar nak jumpa tuan rumah yang menyewakan rumah tanpa deposit kerana tuan rumah berdepan dengan RISIKO, contohnya :

1. Penyewa bertangguh-tangguh bayaran sewa, sedangkan tuan rumah perlu membayar ansuran di bank setiap bulan. Jika lewat, CCRIS tuan rumah akan tercalar. Lebih teruk, dah la tak bayar sewa, kemudian lari menghilangkan diri.

2. Penyewa keluar awal daripada tarikh tamat kontrak, maka tuan rumah mungkin rugi 1-2 bulan rumah kosong kerana perlu mencari penyewa baru akibat daripada penyewa melanggar kontrak tempoh sewaan. Kos iklan juga perlu ditanggung. Janji nak keluar lepas setahun, tengok2 baru 6 bulan terus kata nak keluar esok hari, lepastu paksa pulang semula duit cagaran. Kalau bagitau 2-3 bulan awal bolehlah juga dipertimbangkan.

3. Kerosakan rumah yang disebabkan oleh penyewa contohnya paip patah, pintu pecah (penyewa memang suka terkunci tombol dari dalam), tombol rosak, saluran sumbat (dengan gumpalan rambut, minyak beku, spender), jubin pecah dan lain-lain. Kerosakan yang disebabkan oleh penyewa sepatutnya ditanggung oleh penyewa. Kalau penyewa enggan, bolehlah tuan rumah gunakan duit cagaran, dan bakinya baru dipulangkan.

4. Kerosakan perabot contohnya sofa hancur, cermin muka pecah, almari patah dan lain-lain. Ini juga adalah kerosakan disebabkan oleh penyewa, bukannya ‘wear and tear’, kecuali jika perabot memang uzur.

5. Bil-bil tertunggak yang tidak dilangsaikan oleh penyewa, kadangkala hingga berbulan-bulan lamanya. Biasanya ia hanya disedari apabila penyewa telah keluar rumah. Kalau tiada cagaran, botaklah tuan rumah.

6. Rumah bersepah dengan sampah yang setahun tak buang, toilet yang setahun tak cuci, siling bersawang yang setahun tak dibersihkan, lantai berkulat yang setahun tak dimop. Sepatutnya rumah sewa yang dipulangkan diberi dalam keadaan yang sama ketika penyewa mula-mula masuk. Jika tidak, kos pembersihan patut ditanggung penyewa.

Ini cuma 6 contoh sahaja. Jika tiada duit cagaran, adakah penyewa sanggup nak hulur duit selepas keluar? Sangat mustahil. Jika duit cagaran dah digunakan untuk bayaran sewa bulan-bulan terakhir, kemudian apabila penyewa keluar baru perasan tunggakan bil cecah 1000, adakah penyewa yang dah keluar akan hulurkan duit 1000 tu? Sangat susah.

Tuan rumah tak maksum

Ada juga segelintir tuan rumah yang buat duit cagaran itu macam duit dia punya. Duit cagaran diambil dan dijolikan sehingga menyebabkan ketidakmampuan untuk memulangkan semula kepada penyewa selepas tamat kontrak sewa; malah menyalahkan penyewa itu ini semata-mata untuk tegakkan benang yang basah sebab duit sudah habis dijolikan. Ini tuan rumah dari neraka.

Untuk tuan rumah, tegaskan kepada penyewa awal-awal bahawa DUIT DEPOSIT / CAGARAN BUKANLAH ‘ADVANCE PAYMENT’ UNTUK SEWA, supaya 1-2 bulan terakhir mereka tak paksa tuan rumah guna duit cagaran sebagai bayaran sewa. Jika tidak, apabila mereka keluar kelak, tuan rumah sudah tiada apa-apa duit cagaran untuk menyelesaikan apa-apa risiko di atas yang mungkin jadi realiti. Terpaksa keluar duit poket sendiri.

Untuk penyewa pula, clarify awal2 dengan tuan rumah apa maksud duit deposit dan adakah ia akan dipulangkan semula dan apa perkara yang membuatkan duit deposit hangus. Catat.

Akhir sekali, buat perjanjian sewa secara bertulis dan catat dengan terperinci isu duit deposit / cagaran ini. Kalau ada pertikaian, rujuk perjanjian ini. Iyalah, kalau sekadar sembang, akhirnya akan ada pihak yang gebang.

Sumber : Dr. Mohd Fadhli Mohd Fauzi

Story (dicyduk!)

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending