Connect with us

WTF

Dipercayai Nak Duit Insurans, Suami Ajak ‘Selfie’ Sebelum Tolak Isteri Sarat Hamil Dari Tebing Bukit

Isteri adalah amanah Allah kepada suami. Lantaran itu, suami mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai seorang pemimpin dan juga ‘pelindung’ isteri dan keluarga. Namun, perkara yang sebaliknya pula yang berlaku dalam kisah tragis ini.

Baru-baru ini, seorang lelaki di Turki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya dengan cara yang kejam. Sebelum membunuh, dia dilaporkan sempat mengambil swafoto bersama isterinya yang sedang hamil tujuh bulan.

Namun beberapa saat selepas itu, dia tergamak menolak isterinya jatuh dari tebing bukit. Apa yang lebih menyedihkan adalah isterinya yang tidak mengesyaki apa-apa, dilihat tersenyum gembira dalam gambar terbabit.

Senyuman terakhir isteri, sebelum mati dibunuh

Lelaki bernama Hakan Aysal itu telah ditangkap oleh pihak polis dan dituduh menolak isterinya, Semra Aysal, dari tebing bukit sehingga membunuh mangsa sewaktu mereka sedang bercuti di Butterfly Valley, di Bandar Mugla, tenggara Turki.

Isterinya yang sarat hamil itu meninggal serta merta di tempat kejadian bersama bayinya yang masih dalam kandungan.

Menurut laporan akhbar UK, The Sun, lelaki berusia 40 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kerana niat jahatnya untuk menuntut wang insurans milik isterinya. Malah, pihak pendakwa raya menuduhnya melakukan jenayah pembunuhan dengan sengaja.

Menerusi dokumen pendakwaan, Hakan dipercayai telah merancang untuk membunuh isterinya demi memperolehi wang insurans kemalangan jiwa yang bernilai sebanyak 400,000 lira Turki, bersamaan RM 250,000 yang dinamakan atas namanya.

Nampak bahagia bersama… Tapi tak sangka!

Bukan itu sahaja, pihak pendakwa raya turut membongkar alasan Hakan mengajak isterinya duduk di tebing bukit selama tiga jam adalah bagi memastikan tiada orang di sekeliling mereka sebelum bertindak membunuh mangsa.

Selain itu, Hakan juga didakwa telah menuntut pembayaran insurans sebanyak TRY400,000 sebaik sahaja isterinya disahkan meninggal dunia. Bagaimanapun, permintaannya ditolak oleh pihak insurans setelah melakukan siasatan lanjut.

Manakala, menerusi satu wawancara video bersama saudara mangsa bernama Naim Yolcu, dia memberitahu bahawa sewaktu berkunjung ke Institut Perubatan Forensik untuk mengambil mayat isterinya, Hakan langsung tidak keluar dari kereta.

Reaksinya juga kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku, sedangkan insan paling dekat dalam hidupnya telah pergi buat selamanya. Justeru itu, perkara itu menimbulkan kemusykilan dalam hati Naim.

“Setelah dia meninggal, kami baru mengetahui bahawa dia mempunyai tiga pinjaman yang Hakan ambil atas nama adik saya. Selain itu, Hakan adalah orang yang takut dengan ketinggian, jadi sukan ekstrem apa yang boleh dilakukan olehnya jika dia takut dengan ketinggian?” kata Naim.

Menafikan pembunuhan

Walaupun terdapat banyak tuduhan yang mendakwa dia telah membunuh isterinya sendiri, Hakan dalam satu soal jawab bersama mahkamah telah menafikan bahawa dia bertanggungjawab atas kematian isterinya.

“Dia meminta saya untuk memberikannya telefon. Saya bangun dan kemudian mendengar isteri saya menjerit di belakang saya ketika saya berjalan beberapa langkah untuk mendapatkan telefon dari begnya.
“Ketika saya menoleh, dia tidak ada di sana. Saya tidak ‘tolak isteri saya’,” jelas Hakan kepada mahkamah yang menafikan pembunuhan tersebut.

Media melaporkan sehingga hari ini, perbicaraan Hakan Aysal masih diteruskan dan belum mempunyai titik noktah.

Sumber: The Vocket , The Sun UK

Continue Reading
Advertisement

Trending