Connect with us

Infozon

Covid-19: Lima Tahun Kerja Pengurus HR, Kini Jadi Pemotong Daging Di Pasar

Selepas Aidilfitri dan pejabat mula dibuka, Mohd Haniff M. A. Shamsuddin menaruh harapan berita yang didengar mengenai syarikatnya tidak benar.

Beliau ada terdengar khabar angin mengatakan syarikat usaha sama di Bukit Damansara tempat kerjanya sedang berdepan masalah. COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi, menyebabkan banyak projek terpaksa ditangguhkan.

Apa yang sering didengarnya, ada yang diberhentikan atau diarah bercuti. Sebagai pencari nafkah tunggal, beliau bimbang apakah nasib sama akan menimpanya.

Akhirnya, tempat dia bekerja sebagai pengurus sumber manusia (HR) selama lima tahun memberitahu dia diberhentikan. Kini, secara rasmi beliau antara hampir 800,000 rakyat Malaysia yang menganggur.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu perlu berbuat sesuatu untuk menyara keluarganya, sudah tentu dalam suasana sekarang bukan mudah mencari kerja sebagai pengurus HR.

Tetapi ada syarikat yang mencari pekerja rakyat Malaysia yang tidak cerewet, tidak kisah kerja dari 4 pagi hingga tengah hari, atau dalam persekitaran panas terik dan bau yang kurang menyenangkan, dengan gaji sekitar RM2,000 sebulan – peniaga di Pasar Basah Old Town Petaling Jaya.

“Sekejap je cari kerja. Bezanya nak atau tak nak,” katanya. “Untuk kelangsungan hidup saya dan keluarga, saya perlu lakukan kerana kita punya tanggungjawab.”

Meskipun upahnya jauh lebih rendah berbanding kerja lamanya, tetapi ia lebih baik daripada tiada langsung dan ia mungkin mendekatkannya dengan impiannya, ujarnya.

Peniaga-peniaga di pasar kini terdesak mencari pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pekerja asing.

Selepas wabak COVID-19 di pasar basah di Lembah Klang pada Mei, Majlis Bandaraya PJ melarang pekerja asing bekerja di semua pasar awam di bawah bidang kuasa mereka. Selangor kemudian menjadikan ia undang-undang pada 19 Jun.

Beliau membeli kasut baharu untuk menghadiri temuduga dan berada di pasar seawal 4 pagi.

Abang Anuar tanya, “nak cari kerja ke? Awal pagi dah datang.”
“Datang pagilah, kita kan nak kerja,” katanya.

Anuar Abdullah, pemilik gerai daging, tempat kerja baharunya. Haniff akan bekerja sebagai pemotong daging, jauh berbeza dengan kerja yang dilakukannya sebelum ini.

Langsung tidak tahu menggunakan pisau kerana selama ini isterinya yang menguruskan bab memasak. Hasil tunjuk ajar majikannya selepas beberapa minggu, beliau sudah mampu menguruskan gerai dan memotong daging dengan baik mengikut kehendak pelanggan.

“Saya bernasib baik,” kata Anuar kepada Bernama.

Sebagai presiden Persatuan Peniaga Pasar Basah Old Town Petaling Jaya, ramai rakyat Malaysia yang datang minta kerja kemudian tidak datang selepas beberapa hari. Mungkin kali ini, berbeza, katanya.

“Bukan kita tak buat macam kerajaan buat, sebelum ni pun dah buat. Orang Malaysia ini tak suka kerja macam ini,” ujarnya.
“Suruh datang pukul 4, mereka datang pukul 6.” 

Tetapi apa yang dilihatnya terhadap Haniff, sesuatu yang berlainan dia mempunyai keinginan untuk belajar.

“Apabila saya masuk dalam bidang macam ni, saya ada satu keinginan, saya mahu berniaga sendiri, jadi saya nak tahu selok-belok, saya kena mula dari bawah,” katanya.

Beberapa jam selepas ditemu bual Bernama, Haniff berhenti kerja. Ketika dihubungi, beliau berkata majikan lamanya menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi.

Biarpun nasib masih menyebelahinya, beliau tetap menaruh harapan untuk mengejar impiannya mempunyai perniagaan sendiri. Bagi dirinya COVID-19 dan semua yang berlaku selepas itu memberinya banyak pengajaran.

“Kena ada backup. Tak boleh bergantung dengan makan gaji sahaja,” katanya.

Sumber : Bernama

Continue Reading
Advertisement

Trending