Connect with us

Infozon

Anggota Kabinet Lubnan Letak Jawatan Atas Desakan Rakyat Selepas Letupan Beirut

Presiden Lubnan Michel Aoun pada Isnin menerima peletakan jawatan kerajaan yang memerintah dan melantik Perdana Menteri Hassan Diab sebagai ketua kerajaan sementara, lapor agensi berita Anadolu.

Langkah tersebut berlaku di tengah-tengah kemarahan orang ramai mengenai letupan dahsyat minggu lalu di ibu kota Beirut.

Ketua Pengarah Pejabat Presiden Antoine Choucair dalam satu sidang media berkata Aoun mengucapkan terima kasih kepada Diab dan barisan menteri dan “meminta mereka untuk terus menjalankan tugas sehingga kerajaan baharu dibentuk.”

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Hamad Hassan memberitahu wartawan  bahawa semua anggota Kabinet Lubnan menghantar  surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri untuk disampaikan kepada Presiden.

Terdahulu hari yang sama, Menteri Kehakiman Marie-Claude Najm dan Menteri Kewangan Ghazi Wazni mengundurkan diri. Menteri Penerangan Manal Abdel-Samad dan Menteri Alam Sekitar Damianos Kattar meletakkan jawatan pada Ahad.

Enam anggota parlimen turut mengundurkan diri daripada 128 anggota parlimen dalam protes terhadap letupan dahsyat yang telah mengorbankan 163 mangsa dan 6,000 yang lain cedera. Dianggarkan kira-kira 300,000 orang awam telah kehilangan tempat tinggal.

Menteri Komunikasi Talal Hawat, dan Ghada Chreim – menteri pengganti – dalam pertemuan itu berkata pengunduran diri pemerintah adalah “tidak dapat dielakkan.”

Satu letupan kuat menggegarkan Pelabuhan Beirut pada Selasa setelah timbunan 2,750 tan metrik amonium nitrat yang disimpan di dalam gudang terbakar.

Amonium nitrat adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membuat bom dan dalam pembuatan baja. Keganasan telah ditolak sebagai kemungkinan penyebab letupan.

Letupan itu, yang menggegarkan Beirut ke pusat bandarnya, menghancurkan bangunan-bangunan yang berdekatan sehingga beberapa kilometer, terjadi ketika Lubnan sedang berhadapan krisis kewangan yang teruk dan pandemik COVID-19.

Penunjuk perasaan telah berhimpun di jalanan dengan demonstrasi antikerajaan yang ganas selama dua hari terakhir, menyerbu bangunan rasmi dan bertempur dengan polis.

Sumber: Bernama

Continue Reading
Advertisement

Trending