Seorang lelaki panik lalu meninggalkan kekasihnya selepas kenderaan yang dipandu terjunam ke dalam sungai kerana takut ditangkap khalwat.
Memetik laporan New Straits Times, pasangan itu yang menyangka mereka akan ditangkap khalwat dikatakan cuba melarikan diri daripada pihak polis dengan memecut kenderaan sejauh 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah sebelum terjatuh ke dalam sungai di Paya Lebar, Melaka malam tadi.
Foto: NST
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah menjelaskan suspek yang berusia 30 tahun itu dikatakan menjadi panik selepas kereta peronda berselisih dengan kenderaannya pada sekitar jam 9.30 malam.
Difahamkan, suspek telah melarikan diri setelah kereta yang dipandu terbabas masuk ke dalam sungai tersebut sebelum digeledah oleh anggota peronda.
“Apabila sampai di Paya Lebar, kereta itu terbabas dari jalan dan masuk ke dalam sungai. Pemandu kemudian melarikan diri. Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian menggeledah kenderaan itu tetapi tidak menemui barang seludup,” ujarnya.
Meskipun tiada barang seludup ditemui, namun pihak polis telah menyelamatkan seorang wanita berusia 26 tahun yang dilaporkan turut ditinggalkan seorang diri oleh teman lelakinya di dalam kereta terbabit.
Foto: Sinar Harian
Walau bagaimanapun, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar ke rumah saudaranya yang terletak di Telok Gong.
“Kita sudah mengenal pasti suspek. Siasatan awal mendapati lelaki itu melarikan diri kerana takut ditahan polis kerana berdua-duaan dengan teman wanitanya di dalam kereta.
“Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” ujarnya.
Sumber: New Straits Times (Meor Riduwan Meor Ahmad)