Mahkamah tinggi telah membatalkan hukuman dan sabitan terhadap seorang juruteknik, Chiok Wai Loong yang membuat hantaran berkaitan isu stoking kalimah Allah.
Memetik laporan Bernama, Hakim, Datuk Ahmad Bache membuat keputusan tersebut setelah memberi keizinan terhadap permohonan Wai Loong, 35 tahun, untuk menangguhkan hukuman dan sabitan yang dikenakan ke atasnya pada 22 Mac lalu.
Foto: Bernama
Walau bagaimanapun, setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak, tertuduh telah diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Sesyen bagi perbicaraan selanjutnya.
“Selepas mendengar hujahan pihak-pihak, mahkamah membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terhadap sabitan dan hukuman. Oleh itu tertuduh diarahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan secara penuh.
“Tertuduh diarah dipertuduhkan semula, tetapi di hadapan hakim Mahkamah Sesyen berlainan dalam kadar segera hari ini,” kata hakim berkenaan.
Datuk Ahmad menjelaskan bahawa Wai Loong perlu menghadiri perbicaraan semula kerana pihak mahkamah mendapati hakim di mahkamah terdahulu tidak merekodkan pengakuan bersalah tertuduh serta prosedur yang betul.
Foto: Utusan
Tambahnya lagi, pertuduhan yang dihadapkan terlalu panjang sehingga menimbulkan persoalan tentang pemahaman orang awam seperti tertuduh untuk memahaminya.
“Tidak disebut bahawa dia memahami pertuduhan dan akibat (kemungkinan hukuman) selepas dia mengaku bersalah. Hakim hanya menyebut pertuduhan dan hukuman dibacakan kepadanya.
“Pertuduhan terhadapnya begitu panjang, bagaimana anda (pendakwaan dan mahkamah) mengharapkan orang awam seperti beliau untuk memahami? Dia juga tidak diwakili peguam pada hari itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, selain tidak mempunyai wakil peguam, beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat terhadap pemohon dilakukan secara tergesa-gesa.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin telah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM12,000 terhadap Wai Loong.
Hukuman itu dijatuhkan setelah tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan menghina agama Islam berkenaan isu penjualan stoking yang menampilkan kalimah Allah di Facebook.
Sumber: Bernama