Connect with us

Infozon

6 Sebab Gaji Kau Tak Pernah Cukup. Tak Berkat Salah Satunya!

Tarikh 25 haribulan atau 1 haribulan pada setiap bulan pastinya menjadi hari yang ditunggu-tunggu bagi mereka yang ‘makan gaji’. Umumnya, sebelum tarikh tersebut telah terbayang-bayang barangan keperluan yang ingin dibeli.

Tidak ketinggalan pastinya juga sudah tersedia senarai hutang-hutang yang perlu dibayar. Kesannya, ada kalangan kita yang mengeluh ‘dihari gaji’ dan merasakan pendapatan yang diterima setiap bulan tidak pernah mencukupi. Ini ditambah lagi dengan situasi dimana seakan ‘tahu-tahu’ sahaja bila tarikh gaji mulalah kereta rosak, barang hilang dan perlu diganti, anak sakit serta sebagainya yang memerlukan perbelanjaan ‘diluar jangka’.

Terdapat 6 sebab yang mungkin menjadi penyumbang kepada gaji seseorang seringkali tidak ‘cukup-cukup’.

1. Hubungan dengan Allah SWT

Semak dan muhasabah semula hubungan kita dengan Maha Pemberi Rezeki. Seringkali kita alpa bahawa hakikat setiap hari apa yang diusahakan segalanya diatur dan ditentukan oleh Allah SWT yang merupakan Maha Pemberi Rezeki kepada hambaNya. Jika kita sanggup bekerja bersungguh-sungguh sehingga lewat malam hanya semata-mata untuk mendapat gaji setiap bulan, bagaimana pula hubungan dan tanggungjawab kita sebagai hambaNya? Adakah kita sering menjadikan alasan melewatkan atau meninggalkan solat kerana kesibukan bekerja? Adakah kita juga sanggup ‘culas’ masa bekerja hanya kerana menyakini bahawa gaji tetap akan diterima setiap bulan walaupun kita tidak memberikan yang terbaik untuk kerja dan amanah yang telah diberikan kepada kita? Adakah kita juga sudah memastikan bahawa gaji yang dibawa pulang setiap bulan benar-benar membawa keberkatan dalam kehidupan? Sentiasalah muhasabah dalam memperbaiki hubungan kita denganNya. Mintalah padaNya agar dimurahkan rezeki dan dipermudahkan kehidupan kita dalam menempuh mehnah dan tribulasi kehidupan ini. Percayalah bahawa hubungan yang baik dengan Maha Pemberi Rezeki bukan hanya dapat memastikan gaji yang diperolehi mencukupi malah turut mendapat keberkatan daripadaNya.

2. Gaji tak setimpal

Tidak dinafikan sememangnya terdapat situasi dikalangan kita yang menerima gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan dan keperluan mereka. Pernah terbaca satu kajian yang dibuat oleh Jobstreet Malaysia terhadap 2062 responden yang merupakan siswazah Malaysia menyatakan gaji bulanan RM2500 berdepan kesukaran untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebanyak 77% dikalangan mereka yang memberitahu tidak mempunyai baki wang mencukupi untuk membuat simpanan kerana terpaksa menampung perbelanjaan keperluan setiap bulan. Janganlah berhenti berusaha dan sentiasalah memohon kepadaNya serta terus melangkah dalam mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Dikala sedang mencari peluang yang lebih baik, pekerjaan dan amanah yang berikan sekarang ini janganlah sesekali diabaikan.

3. Berhutang dan menambah hutang

Berdasarkan kajian Jobstreet Malaysia yang sama juga menunjukkan 63% daripada pendapatan responden bersamaan RM1500 digunakan untuk tujuan pembayaran pinjaman kereta, pinjaman pendidikan khususnya PTPTN, kos-kos lain seperti minyak, tol dan lain-lain. 50% di kalangan mereka tinggal bersama keluarga, 30% lagi menyewa secara berkongsi bersama rakan dan 20% membuat keputusan untuk tinggal berseorangan. Aroninya 50% di kalangan responden adalah mereka yang tinggal bersama keluarga turut menyatakan gaji RM2500 tidak mencukupi. Ini menunjukkan, pembelian kereta sejurus selepas tamat pengajian turut menjadi penyumbang kepada masalah ketidakcukupan gaji khususnya di kalangan graduan. Boleh diibaratkan situasi ini umpama tidak sedar berhutang dan ditambah lagi dengan hutang yang baru. Perlu disedari sebaik tamat pengajian, hutang PTPTN telah menunggu kebanyakan graduan. Hutang kereta ini bukan hanya menambah lagi liabiliti malah pemilikan kereta pastinya memerlukan perbelanjaan dan komitmen setiap bulan. Atas sebab itulah sebelum ini dalam 8 STRATEGI PENGURUSAN KEWANGAN GRADUAN MUSLIM, saya mencadangkan untuk menangguhkan dahulu pembelian sesebuah kereta.

Sentiasa juga ingatkan diri, bayar hutang yang ada dan jangan cuba menambah hutang khususnya hutang-hutang mudarat. Sebagai contoh, sengaja memilih hutang kereta dikala kereta bukanlah benar-benar keperluan, hutang perabot dikala tanpa perabot pun kita masih boleh gembira, hutang tv dikala tv lama masih boleh digunakan, hutang smartphone dikala smartphone lama masih lagi berfungsi dan pelbagai jenis hutang mudarat yang lain.

4. Kemahuan menjadi keutamaan

Ramai yang telah menyedari gaji bulanan yang diperolehi setiap bulan berada di paras ‘cukup-cukup’. Namun, aroninya apabila berbelanja mereka lebih mengutamakan kemahuan daripada keperluan. Sebagai contoh, terikut-ikut dengan gaya hidup rakan-rakan atau orang disekeliling sehinggakan menyebabkan ada mereka yang sanggup berbelanja melebihi kemampuan. Tanpa disedari ‘biar papa, asalkan bergaya’ menjadi amalan atau sengaja memilih cara tersebut atas alasan mengekalkan status dan kepuasan diri. Sentiasa ingatkan diri supaya tidak terjebak dalam situasi yang pernah saya kongsikan dalam tulisan sebelum ini iaitu 5 PETANDA KAYA TAK BERHARTA.

5. Tiada catatan dan pengasingan

Bagi memastikan gaji yang diperolehi setiap bulan benar-benar cukup, kaedah mencatat dan pengasingan perlu dilakukan. Buat catatan segala perbelanjaan utama bagi setiap bulan termasuk hutang-hutang yang perlu dilangsaikan. Secara umum, mereka yang membuat catatan aliran keluar dan masuk kewangan mereka akan memperolehi 2 kelebihan. Pertama, kelebihan dalam mengenal pasti ‘kedudukan kewangan semasa’ dan ke dua dapat mengawal ‘kebocoran’ wang gaji yang mereka perolehi setiap bulan. Pengasingan gaji bagi keperluan membayar hutang-hutang juga perlu dibuat terlebih dahulu sebelum berbelanja.

6.  Hidup di luar kemampuan

Secara umum terdapat 3 kategori cara hidup yang menjadi pilihan:

i. Hidup di luar kemampuan

Jika seseorang itu kekal dalam situasi ini saya pasti mereka akan terus menghadapi situasi gaji yang diperolehi setiap bulan tidak akan pernah mencukupi. Keluarlah dari zon ini dan janganlah menyeksakan diri hanya kerana ingin kelihatan bergaya atau terus berada dalam ‘status rekaan’ yang kita sendiri menyedari bahawa kita sebenarnya tidak mampu.

ii. Hidup pada kemampuan

Ramai yang memilih hidup pada kemampuan sepertimana kata pepatah “ukur baju di badan sendiri”. Golongan ini boleh diklasifikasi sebagai ‘cukup-cukup’ dan kebiasaanya tiada masalah kewangan yang kritikal. Masih boleh menikmati kehidupan dan bergembira apabila tibanya hari gaji. Boleh terus kekal dalam zon ini kerana pilihan tetap di tangan kita. Barangkali perkongsian SALAHKAH BERBELANJA? boleh dijadikan panduan dalam memberikan fokus kepada peningkatan simpanan dan mengembangkan pelaburan pada masa hadapan. Sebagai contoh, saya merasakan diri saya berada di zon ini, barangkali sudah tiba masa untuk saya beralih ke zon seterusnya ke arah matlamat kewangan yang lain seperti meningkatkan simpanan dan menambah lagi pelaburan hartanah pada masa hadapan.

iii. Hidup di bawah kemampuan

Saya sendiri menyedari bahawa bukan senang untuk mengamalkan ‘hidup di bawah kemampuan’. Pengalaman berada di Jepun ini, mengajar saya bahawa tidak salah dan tidak akan terjejas kehidupan ini apabila memilih untuk hidup di bawah kemampuan. Jika kita boleh berjimat kenapa tidak memilih untuk berjimat. Jika sesuatu barang itu bukan keperluan kenapa perlu memilikinya hanya semata-mata kita berkemampuan. Hasil daripada penjimatan boleh dijadikan modal untuk pelaburan lain di masa hadapan. Sememangnya bukanlah mudah untuk mengamalkan dan berada di dalam zon ini. Namun, saya telah menyedari bahawa ‘Hidup di BAWAH Kemampuan’ juga telah diamalkan oleh mereka yang kini berjaya dalam pelaburan hartanah, emas, saham dan juga ahli-ahli perniagaan yang berjaya. Tidak kurang juga orang-orang dulu kelihatan hidup mereka ‘biasa-biasa sahaja’ tetapi harta yang dimiliki di tahap ‘luar biasa’.

Semoga catatan ini boleh dijadikan panduan dan memotivasikan diri sendiri.

Sumber: Travelogisma

 

Story (dicyduk!)

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending