Connect with us

Infozon

11 tahun tinggal di Jepun, jurutera ini kongsi cabaran sebenar sebelum bergelar ‘salaryman’ di Jepun

Ramai rakan-rakan ahli Group “Road To Japan” yang menghubungi saya bertanyakan apakah ada peluang untuk mereka bekerja di Jepun. Tetapi kebanykkannya jawapan yang diterima daripada saya agak menghampakan mereka.

Di sini, saya akan menerangkan beberapa elemen yang menyebabkan keterhampaan itu terpaksa dirasai supaya ramai akan faham situasi sebenar mengenai kenapa susah sangat nak menggarap peluang pekerjaan di Jepun.

Penerangan saya ini berdasarkan apa yang telah saya lalui dan melalui pengalaman dalam bidang yang saya ceburi. Saya tidak akan memberi penerangan sewenang-wenangnya mengenai pekerjaan yang di luar bidang dan pengalaman saya, takut nanti ramai akan salah faham dan maklumat itu tidak tepat.

Bersama rakan seperjuangan Takeda san dan Mrs Montani san. kami bertiga sebaya. Takeda san hanya lulus Sekolah menengah sahaja tapi kini telah diiktiraf sebagai Engineer

Elemen utama yang menjadi punca saya diterima untuk bekerja di sana dari segi Teknikal :

  • Lulus dari Kolej di Jepun di dalam bidang Kejuruteraan.
  • Boleh berbahasa Jepun termasuk menulis dan membaca.
  • Mengesahkan telah mendapat pekerjaan sebelum tamat pengajian.
  • Mendapat perlepasan dari pihak yang menaja kita belajar di Jepun.
  • Mempunyai Visa yang sah, dari Visa Pelajar berubah ke Visa Kerja.

Elemen utama yang perlu ada untuk anda bekerja di Jepun dari segi Rohani, Jasmani dan Mental :

1.  Mempunyai niat yang ikhlas.

2. Mempunyai matlamat dan visi yang jelas kenapa anda harus bekerja di sana.

3. Mempunyai pegangan Akidah yang kuat supaya anda tidak hanyut dengan cara hidup di sana.

4. Mempunyai mental yang kuat untuk menghadapi KESUNYIAN di tahap kritikal.

5. Tidak goyah dan kalah dengan nafsu tekak anda, yang menyebabkan anda mengalah tak boleh bertahan kerana takde rasa belacan pedas masam dan sebagainya, perlu survive mengisi perut dengan apa yang ada di sekeliling anda.

6. Bersedia untuk merubah sikap keseluruhannya. Perlu belajar menerima dan meresapi tatacara bekerja cara orang Jepun. MC? Datang lambat? balik awal? Nak pergi bank? Maaf….sila pulang.

7. Tidak merungut gaji kecil dan pelbagai jenis kerja akan dipertanggungjawabkan ke atas anda.

8. Bersedia untuk mengalami amalan ‘Diskriminasi’ dari para senior anda. Jangan salah faham bukan diskriminasi bangsa atau kaum ya. Kena ketuk kepala anda balas balik….sila pulang juga.

9. Bersedia untuk menghadapi pelbagai tekanan ‘Komunikasi’. Anda fikir anda faham dari segi bahasa, tapi dari segi nuans nya memberi maksud berlainan.

10. Bersedia untuk menhadiri pelbagai acara tahunan syarikat yang hampir 90% anda perlu melayani rakan sekerja yang mabuk.

11. Bersedia untuk menyesuaikan diri bergaul dengan masyarakat di sana, ada ketikanya anda akan dilantik menjadi AJK kawasan perumahan anda dan mematuhi peraturan-peraturan kawasan setempat.

12. Pandai berjimat cermat. Nafsu untuk beli gadjet, kereta dan aksesori, barang elektrik elektronik, barang pancing dan sebagainya…perlu dibendung.

13. Mempunyai ketahanan fizikal untuk menghadapi cuaca empat musim. Banyak kes ramai tak tahan sejuk nak balik Malaysia.

14. Mempunyai ketahanan jiwa raga kalau ada makwe pakwe kat Malaysia tu yg selalu suruh “Pulanglah” tu… haa pandai pandai la nak pujuk… ramai jugak fail bahagian ni..

15. “YAKIN”. Yakin yang anda boleh untuk terus bekerja dan hidup di Bumi Sakura! Anda tak yakin anda akan goyah… anda goyah… akan datang satu penyakit yang diberi nama ‘Utsubyo’ berkaitan mental…

16. Perlu berkorban untuk mempunyai cara pemikiran sebagai orang Jepun, dalam kontek lain “Nihonjin ni naru” atau ingin menjadi orang Jepun, supaya tubuh, naluri dan perasaan jadi sebati dan mudah untuk bergaul bekerja bermasyarakat dengan orang Jepun. Tapi bukan bermaksud anda buang semua pakaian asal anda! Jika tidak contradiction kendiri akan berlaku!

17. Buang segala Ego, tetapi perlu ada ego untuk berjaya!

Jadi saya suka nasihatkan di sini… anda gagal salah satu di atas .. maaf tiada harapan untuk berada lama di sana… setakat alasan nampak syoknya kerja kat Jepun, bosan kerja kat Malaysia, dan pelbagai alasan yang tidak kukuh, sila lupakan.

Saya anggap dia sebagai Abang Angkat saya Mr Miyawaki san! Dia lah senpai saya yang paling mengambil berat dan banyak mencurahkan ilmu kepada saya.

Elemen lain :

– Negara Jepun, Bangsanya hanya satu iaitu Bangsa Jepun.

– Bangsa ini bangga dan lebih percaya kepada kemahiran rakyat mereka sendiri.

– Jadi mereka tidak memerlukan bangsa luar untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di negara mereka (kecuali ada sektor tertentu seperti IT).

– Tetapi tidaklah bermakna mereka mengamalkan diskriminasi terhadap bangsa lain, tidak, boleh.. kalau anda ingin menyelusup masuk dalam masyarakat mereka, anda perlu bersedia untuk berjaya menghadapi cabaran-cabaran yang saya sebutkan di atas.

Chourei dan Uchiawase room atau bilik taklimat dan memberikan arahan. Seawal pagi 7:30am.

Jadi memang benarlah tiada jalan lain untuk mencari ruang peluang bekerja di sana?

Maaf saya tak boleh beri ulasan tentang ini kerana tiada pengalaman.

Cuma apa yang saya tahu, ada antara jalan lain ialah (yang bukan graduate mana-mana kolej atau universiti di Jepun) :

1. Memohon mana-mana syarikat Jepun di Malaysia, tunggu peluang untuk di hantar training ke sana.

2. Memohon program WWOOF (World Wide Opportunities on Organics Farm) sila Google.

3. Berkahwin dengan Warganegara Jepun boleh dapat Spouse Visa duduk sana dan memohon kerja part time di sana.

4. Belajar bahasa Jepun di sana dengan wang sendiri, (pohon visa pelajar), buat part time sambil belajar. Kalau ada rezeki anda dah fasih berbahasa Jepun mungkin ada peluang untuk diambil bekerja dengan kenalan di sana (pernah berlaku pada kenalan saya dari Malaysia).

Tapi belanja dia… teramat mahal. Kena ambil kira belanja sewa rumah, kos makan minum api air.

Buat masa ini setakat ini sahajalah penerangan saya. Harap dapatlah menjawab persoalan-persoalan rakan-rakan yang bertanya kepada saya sebelum ini. Supaya penjelasan ini anda lebih memahami tentang situasi sebenar memohon pekerjaan di sana.

Kalau ada rakan-rakan lain pernah bekerja di sana selain cara di atas, sila kongsikan bersama.

*Nota kaki :

Jangan salah anggap penulisan saya di atas ye.. mungkin ramai yang rasa “wah teruknya kerja di sana!” Pada hakikatnya tidak…

Elemen-elemen yg saya beritahu di atas adalah sebagai persediaan diri kita utk bersedia membuang segala sifat manja , bersedia untuk menjadi kental supaya kita senang menerima budaya kerja mereka…

Saya beritahu tuan puan… saya memerlukan tempoh setahun sahaja utk membiasakan diri.

Sekiranya anda boleh melepasi cabaran-cabaran awal insyaAllah cabaran-cabaran lain senang utk ditempuhi…

Maaf selepas setahun bekerja di sana saya dah nekad untuk terus bekerja dan tinggal di sana kerana terlaaaaluuuu seronok!

Tetapi, Allah taala mempunyai perancangan lain yang lebih baik untuk saya.

Bersambung di episode akan datang :
“Mengapa saya mahu terus bekerja dan menetap di Jepun”

Terima kasih.

Wassalam

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending